Tuesday 1 November 2011

UKHUWAH

UKHUWAH.
Ta’rif Ukhuwah.
Al-Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna telah mentakrifkan ukhuwah:
“Yang saya maksudkan dengan ukhuwah ialah hati dan jiwa yang terikat dengan ikatan aqidah.”
Ukhuwah ialah hati atau jiwa yang terikat. Ia diikat oleh Tauhidullah dan bukan dengan ikatan yang lain. Tauhid kepada Allah Subhanahuwata’ala merupakan ikatan yang paling kukuh. Dengan ukhuwah seseorang itu akan merasai bahagia bersama-sama dengan saudaranya.
Perpecahan pula adalah saudara kepada kekufuran.
Darajat Ukhuwah.
Ukhuwah lahir daripada kekuatan kasih sayang. Darjat kasih sayang yang paling rendah ialah salamatus sadri. Dengan salamatus sadri, tidak ada di dalam hati seseorang sebarang halangan dengan saudaranya. Ini kerana telah wujud saling percaya mempercayai antara mereka.
Manakala drajat kasih sayang yang paling tinggi ialah “al-ithar’, iaitu mengutamakan saudaranya lebih daripada diri sendiri.
Dalil Ukhuwah.
Firman Allah Subhanahuwata’ala:
Yang bermaksud:
“Dan berpegang teguhlah kamu semua dengan tali Allah (Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai, serta ingatlah nikmat Allah suatu ketika dahulu (ketika Jahiliyyah) kamu bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan antara hati-hati kamu, lalu jadilah kamu dengan nikmat Allah tersebut orang-orang yang bersaudara. Dan ketika kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya agar kamu mendapat petunjuk.” “Dan hendaklah terdapat di kalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada ma’ruf dan mencegah daripada munkar. Merekalah orang-orang yang beruntung.”(Ali ‘Imran: 103-104.)


Asy-Syahid Sayyid Qutb di dalam mentafsirkan Surah Ali ‘Imran, ayat 103-104 di atas menyatakan bahawa tunggak bagi sesebuah Ummah Islamiyyah ialah:
1.    Al-I’tisam Bi Hablillahi - berpegang teguh dengan tali (din) Allah Subhanahuwata’ala
2.    La Tafarraqu - Jangan berpecah belah
Sebab penurunan ayat tersebut di atas berkaitan dengan kisah golongan Yahudi Madinah yang cemburu terhadap ukhuwah di kalangan umat Islam ketika itu. Persaudaraan umat Islam  yang lahir di antara Bani ‘Aus dan Bani Khazraj serta persaudaraan yang lahir di antara Golongan Muhajirin dan Golongan Ansar adalah amat unik. Lalu orang-orang Yahudi menghasut umat Islam (bangsa Arab) agar mereka kembali berpecah seperti ketika dalam jahiliyyah dahulu. Mereka mengungkit kisah Peperangan Bu’ath, peperangan antara Bani ‘Aus dan Bani Khazraj yang berlaku sebelum mereka menerima Islam. Akibat daripada hasutan itu mereka hampir-hampir berperang semula atas dasar perkauman. Dengan peristiwa tersebut maka Allah Subhanahuwata’ala menurunkan ayat di atas. Maka mereka kembali sedar dan kembali berpegang dengan din Islam.
Ukhuwah Adalah Anugerah Allah Subhanahuwata’ala
Ukhuwah adalah anugerah Allah Subhanahuwata’ala kepada orang-orang yang beriman. Allah  Subhanahuwata’ala menanam di dalam hati-hati mereka sifat tersebut. Ia bukanlah ciptaan manusia. Ia bukan juga hasil daripada mana-mana ideologi atau pertubuhan duniawi. Ia adalah kurniaan Allah Subhanahuwata’ala ke atas hati-hati yang memiliki iman.
Realiti Ukhuwah Masa Kini
Umat Islam ramai, tetapi di kalangan mereka tidak terdapat ikatan aqidah. Banyak di kalangan umat Islam bersifat individualistik atau mementingkan diri sendiri. Ukhuwah Islamiyyah sudah nipis kerana jiwa diselaputi karat-karat jahiliyyah. Bahkan, dikalangan umat Islam sendiri sering berlaku pertelagahan lantaran lunturnya ukhuwah Islamiyyah.Kita hendaklah mengelakkan diri daripada terjebak ke dalam realiti sedemikian.
Mewujudkan Rangsangan Ukhuwah
Ukhuwah tidak memadai untuk diperkatakan sahaja di  dalam pelbagai program. Ukhuwah perlulah lahir atau dilahirkan dalam realiti kehidupan seharian. Ta’aruf adalah proses yang boleh menyuburkan ukhuwah. Justeru itu kita hendaklah memperbanyak program informal yang dapat mempertingkatkan ta’aruf.
Nasihat-menasihati pula merupakan suatu tuntutan ukhuwah atau persaudaraan. Seseorang mu’min itu adalah cermin kepada saudaranya. Nasihat yang diberikan dalam suasana ukhuwah merupakan bukti percintaan antara mu’min.
Panduan Memelihara Ukhuwah Berdasar Ayat-ayat Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
1.    Surah Al-Hujurat: Ayat 6.
Firman Allah Subhanahuwata’ala Yang bermaksud:
”Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.
“At-Tabayyun” dalam ayat di atas bererti carilah penjelasan. Asy-Syahid Sayyid Qutb menjelaskan bahawa seseorang mu’min itu hendaklah mencari penjelasan atau kebenaran terhadap maklumat yang dibawa kepadanya oleh orang-orang yang fasiq.
2.    Surah Al-Hujurat: Ayat 11.
Firman Allah Subhanahuwata’ala Yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum memperolok-olokkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diperolok-olokkan itu) lebih baik daripada mereka (yang memperolok-olokkan) dan janganlah pula wanita-wanita (memperolok-olokkan) wanita-wanita yang lain (kerana) boleh jadi wanita-wanita (yang diperolok-olokkan)  lebih baik daripada wanita (yang memperolok-olokkan) dan janganlah kamu mencela diri kamu sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.
“La Yaskhar” dalam ayat di atas bererti janganlah memperolok-olokkan. Memperolok-olokkan saudara mu’min yang lain merupakan perbuatan yang boleh mengeruhkankan perhubungan antara mu’min.
“La Talmizu Anfusakum” dalam ayat di atas bererti janganlah mencela diri sendiri. Bermaksud tidak boleh mencela saudara tanpa sebab. Mencela saudara tanpa sebab bererti mencela diri sendiri.
“La Tanabazu Bil Alqab” pula bererti janganlah memanggil dengan gelaran buruk. Tinggalkanlah gelaran-gelaran yang buruk. Tinggalkanlah perkatan cela, keji dan sebagainya yang tidak disukai oleh saudara.
3.    Surah Al-Hujurat: Ayat 12.
Firman Allah Subhanahuwata’ala Yang bermaksud:
“Hai orang-orang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka sudah tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”
“Ijtanibu Kathiran Minaz Zann” dalam ayat di atas bererti hendaklah menjauhi kebanyakkan daripada prasangka. Sebahagian daripada prasangka itu membawa kepada dosa. Perlunya berhati-hati terhadap prasangka kerana adalah sukar untuk membezakan antara prasangka yang betul atau yang salah, kecualilah terdapat bukti yang jelas.
“La Tajassasu” bererti janganlah mencari-cari kesalahan. Yakni, mencari kesalahan orang lain dengan cara mengintip dan membongkarkan kesalahan tersebut. Sebaliknya tutuplah ia, bukan membiar atau mendedahkannya. Allah Subhanahuwata’ala kasih kepada hambanya yang menutup kesalahan saudaranya. Berilah peluang untuk saudaranya bertaubat. Janganlah hanya dengan satu kesalahan akan menghapuskan seribu kebaikan yang dia lakukan. Badiuz Zaman Sa’id An-Nursi mengatakan bahawa janganlah kamu membakar rumah yang terdapat di dalamnya sepuluh orang hanya kerana seorang daripadanya jahat, sedangkan  sembilan daripadanya baik.
“La Yaghtab Ba’dhukum Ba’dha” janganlah mengumpat sebahagian terhadap sebahagian yang lain. Dengan mengumpat terdapat dua kemungkinan. Kemungkinannya umpatan benar atau tidak benar. Jika benar ia dinamakan sebagai Ghibah atau jika tidak benar ia namakan sebagai Fitnah.

No comments:

Post a Comment