Tuesday 1 November 2011

ADAB - ADAB PERSAHABATAN

1.    Mencintai sahabat kerana Allah Subhanahuwata’ala:
Satu daripada sifat-sifat muslim yang benar ialah cinta kepada saudara atau sahabatnya dengan cinta ikhlas yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata.
Firman Allah Subhanahuwata’ala:
“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara”.(Al Hujurat:10)
Sabda Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam:
“Tiga perkara siapa yang ada padanya, dia menikmati kemanisan iman. Adalah Allah dan RasulNya lebih dicintainya daripada yang selain keduanya. Dan dia mencintai seseorang atau tidaklah dia mencintainya melainkan kerana Allah semata-mata. Dan dia benci untuk kembali kufur setelah Allah menyelamatkannya sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam neraka.”(Muttafaq ’alaih).
2.    Mengucapkan salam apabila bertemu.
Asy-Syaikhani meriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr bin ‘Ash bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam tentang Islam, manakah yang baik?,
Baginda menjawab:
“Engkau memberi makan dan mengucapkan salam kepada orang samada yang sudah engkau kenal mahupun belum engkau kenal.”
Sabda Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam lagi:
“Kamu tidak akan masuk syurga sebelum kamu beriman dan kamu tidak akan beriman sebelum kamu saling cinta-mencintai. Mahukah kamu aku tunjukkan kepada kamu sesuatu yang apabila kamu kerjakan, nescaya kamu akan saling cinta-mencintai? - Sebarkanlah salam di kalangan kamu.”(Riwayat Muslim).
3.    Menjenguk sahabat ketika sakit.
Al Bukhari meriwayatkan daripada Abu Musa Al-Asy’ari bahawa Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermafhum):
“Jenguklah orang yang sakit, beri makanlah orang yang lapar dan lepaskanlah orang yang dipenjara.”
4.    Mendoakan sahabat ketika dia bersin.
Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermafhum):
“Apabila salah seorang di antara kamu bersin, hendaklah dia mengucapkan Alhamdulillah (segala puji bagi Allah), dan saudaranya atau temannya hendaklah mengucapkan untuknya, ‘Yarhamukallah (semoga Allah mengasihimu).’ Apabila dia mengatakan ‘Yarhamukallah (semoga Allah mengasihimu) kepadanya, maka hendaklah ia mengucapkan (kembali) ‘Yahdikumullah wa yushilihu balakum (semoga Allah memberikan petunjuk kepadamu dan memperbaiki keadaanmu)”
5.    Menziarahi sahabat di jalan Allah.
Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam telah bersabda (yang bermafhum):

“Barang siapa menjenguk orang sakit atau berziarah kepada seseorang saudara di jalan Allah, maka dia akan diseru oleh seorang penyeru, ‘Hendaklah engkau berbuat baik dan baiklah perjalananmu, engkau akan menempati suatu tempat di syurga.”(Riwayat Ibnu Majah dan At-Tarmizi).
Muslim juga meriwayatkan daripada Nabi Salallahu’alaihiwasallam (yang bermafhum):
Bahawa seorang lelaki menziarahi saudaranya di jalan Allah di desa lain. Kemudian di tengah perjalanan, Allah mempertemukannya dengan seorang raja. Ketika dia sampai kepadanya, dia ditanya, “Mahu ke mana engkau?”. Dia menjawab, “Aku mahu pergi menziarahi seorang saudaraku di desa ini”. Raja berkata, “Apakah engkau mempunyai suatu hikmah (harta) yang diurus olehnya?” Dia berkata, “Tidak, hanya saja aku ini mencintainya di jalan Allah Ta’ala”. Raja berkata, “Sesungguhnya aku ini adalah utusan Allah yang diutus kepadamu untuk menerangkan bahawa Allah telah mencintaimu sebagaimana engkau telah mencintainya di jalanNya.”
6.    Menolong sahabat ketika kesempitan.
Muslim yang benar bersifat pemurah. Tangannya sentiasa terbuka untuk sahabat-sahabatnya. Sifat mulia ini telah berakar umbi dalam jiwa para sahabat Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam. Ia menjadi amal soleh yang dicintai mereka. Asy-Syaikhani meriwayatkan daripada Ibnu Umar Radhiallahu ‘anh bahawa Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam bersabda yang bermafhum:
“Seorang muslim itu adalah saudara bagi seorang muslim yang lain. Ia tidak boleh berbuat zalim kepadanya dan tidak boleh menyia-nyiakannya (membiarkan atau tidak menolongnya). Barang siapa menolong keperluan saudaranya, maka Allah akan menolong keperluannya. Barang siapa menyingkirkan suatu kesusahan daripada seorang muslim, nescaya Allah akan menyingkirkannya daripada suatu kesusahan di antara kesusahan-kesusahan hari kiamat. Dan barang siapa menutupi (‘aib) seorang muslim, nescaya Allah akan menutupinya pada hari kiamat.”
7.    Memenuhi jemputan sahabat.
Asy-Syaikhani meriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda :
“Hak seorang muslim terhadap seorang muslim yang lain ada lima: Menjawab salam, menjenguk orang sakit, mengiringi jenazah, memenuhi jemputan (atau undangan) dan mendoakan orang yang bersin.”
8.    Memberikan ucapan selamat dalam beberapa kesempatan.
Ad-Dailani meriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anh:
“Barangsiapa bertemu dengan saudaranya ketika bubar daripada solat jum’ah, maka hendaklah dia mengucapkan ‘Semoga Allah memperkenankan doa kita dan doamu.”
Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam bersabda yang bermafhum:
“Tahukah kamu apakah hak tetangga (termasuk sahabat)? Iaitu apabila dia meminta pertolongan daripadamu, maka kamu menolongnya, apabila dia meminta pinjaman daripadamu, maka kamu memberikan pinjaman, apabila dia mendapat kebaikan, maka kamu mengucapkan selamat kepadanya dan apabila dia mendapat suatu musibah, maka kamu hiburkannya.”
9.    Saling memberi hadiah dalam beberapa kesempatan.
Ath-Thabrani meriwayatkan dalam Al-Ausath daripada Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam bahawa baginda bersabda yang bermafhum:
“Saling memberilah hadiah di kalangan kamu, nescaya kamu akan saling mencintai”.
Dan Imam Malik dalam Al-Muwata’ meriwayatkan yang bermafhum:
“Saling bermaaf-maaflah di kalangan kamu, nescaya kedengkian akan hilang. Dan saling memberilah hadiah di kalangan kamu, nescaya kamu akan saling mencintai dan akan hilang permusuhan”.
Seorang sahabat berhak mendapat kasih sayang, perhatian, penghormatan, pertolongan dan kemuliaan akhlak daripada orang yang dekat dengannya. Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam telah memberikan contoh yang baik kepada umatnya dalam berlemah lembut kepada para sahabat.
10.    Tidak memutuskan hubungan dengan sahabat-sahabat dan tidak membelakangi mereka.


Muslim yang benar dan menyedari ajaran din akan menyeru manusia lain kepada perhubungan dan kasih sayang. Bahkan dia mengharamkan pergaduhan, pemutusan hubungan dan sebarang pemulauan. Abu Hurairah telah mendengar Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam bersabda:
“Tidak halal bagi lelaki memulau seorang mukmin lebih dari tiga hari. Maka sekiranya telah berlalu tiga hari, maka hendaklah dia menemuinya dan mengucapkan salam kepadanya (memulakan perdamaian). Jika saudaranya itu membalas salamnya, maka keduanya berkongsi mendapat pahala. Dan jika dia tidak mahu membalas salamnya, maka muslim tadi telah terlepas daripada dosa pemulauan itu.”
Sabda Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam:
“Jagalah diri kamu daripada sangkaan, kerana sesungguhnya sangkaan itu adalah paling dusta dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan. Janganlah kamu intip-mengintip, janganlah berlumba-lumba mengatasi saudaramu dan janganlah berdengki-dengkian, benci-membenci dan janganlah kamu pulau-memulau. Dan jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara.”(Riwayat Bukhari dan Muslim).
11.    Bertolak ansur dan memaafkan sahabat.
Muslim yang benar dapat menahan kemarahannya. Bahkan dia sangat bersedia untuk memaafkannya. Dia akan memejamkan mata terhadap kesilapan sahabatnya dan tidak merasa hina atau malu untuk memaafkan saudaranya.
Firman Allah:
“Dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan”.(Ali ‘Imran : 134).
Amalan atau sikap ini dilakukannya dengan tujuan mencapai keredhaan Allah serta mengharapkan kemuliaan dan ketinggian yang telah dibayangkan oleh Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam di dalam sabda baginda:
“Allah tidak  menambah sifat maaf kepada seseorang hamba melainkan kemuliaan, dan tidaklah merendah diri seseorang kerana Allah melainkan Allah mengangkatnya.”
Ketinggian dan kemuliaan daripada Allah dikurniakan kepada Muslim yang pemaaf dan bertoleransi. Dia digolongkan di kalangan orang-orang yang berbuat baik dan budiman, yang mana disebut oleh Al Qur’an sebagai al-muhsinin. Kelak dia akan dimasukkan di kalangan orang-orang yang paling mulia dan dicintai Allah.
12.    Menemui sahabat-sahabat dengan muka berseri-seri.
Seorang Muslim mestilah murni batinnya dan suci jiwanya. Senyuman mestilah sentiasa menghiasi wajahnya, ramah mesra kata-katanya dan riang gembira tergambar di wajahnya. Dia tidak akan sanggup menemui sahabat-sahabatnya kecuali dengan gembira dan sentiasa tersenyum sebagaimana yang dikehendaki oleh Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam dengan sabda baginda:
“Janganlah engkau meremeh-temehkan sesuatu kebaikan sekalipun hanya engkau menemui saudaramu dengan wajah yang berseri-seri.”(Riwayat Muslim).
Senyum adalah satu akhlak mulia yang digalakkan oleh Islam dan satu daripada amalan salih. Ia juga merupakan satu amalan baik yang membawa pahala dan ganjaran kepada pelakunya. Sesungguhnya wajah yang berseri-seri dan jernih adalah cermin hati yang bersih.
Sabda Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam:
“Senyum di hadapan saudaramu adalah sedekah.”(Riwayat At-Tarmizi).
13.    Menasihati sahabat.
Muslim yang benar bertindak sebagai penasihat yang jujur kepada saudaranya. Dia tidak menipu dan mengkhianati mereka.
Sabda Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam :
“Din itu nasihat. Kami bertanya: Untuk siapa? Baginda menjawab: Bagi Allah, kitabNya, RasulNya, pemimpin-pemimpin muslimin dan ummah muslimin.”(Riwayat Muslim).
Sabda baginda lagi :

“Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri”.(Muttafaq alaihi).

No comments:

Post a Comment